Friday, October 24, 2008

KELEBIHAN MENGHAFAL & MEMPELAJARI AL-QURAN

HADIS 1 :
عن سعد بن عبيدة عن أبي عبد الرحمن السلمي عن عثمان بن عفان رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : (( خيركم من تعلم القرءان وعلمه )) .. أخرجه البخاري وابو داوود والترمذي والنسائي وأحمد وغيره

MAKSUDNYA : Daripada Saad bin 'Ubadah, daripada Abi Abd Rahman as-Sulami, daripada Uthman bin Affan ra, daripada Nabi SAW bersabda : "sebaik-baik kamu adalah sesiapa yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya"...diriwayatkan oleh Bukhary, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie,Ahmad dan ramai lagi.

HURAIANNYA

Islam sangat menggalakkan mengajar al-Quran kepada umum . malah dijadikan urusan ni adalah sebaik-baik ibadah yang boleh mendekatkan diri kepada Allah . maka jangan sesekali kita memandang remeh atau hina kepada usaha mulia ini .

Sebuah Hadis daripada Abu Hurairah ra. , bahawa Baginda Nabi SAW bersabda :[1]

"من دعا إلى هدى كان له من الأجر مثل أجور من تبعه ، لاينقص ذلك من أجورهم شيئا. ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل ءاثام من تبعه ، لاينقص ذلك من ءاثامهم شيئا"

Maksudnya : “Sesiapa yang menunjukkan ke jalan kebaikan , akan diberi kepadanya pahala sebanyakmana pahala orang yang melaksanakan kebaikan tersebut, tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka semua itu. Seterusnya sesiapa yang menunjukkan ke jalan kesesatan , akan diberi kepadanya dosa, sebanyakmana dosa orang yang telah melaksanakan kesesatan tersebut, tanpa kurang sedikit pun daripada dosa-sosa mereka semua itu.”

Diriwayatkan oleh Imam Abu Hanifah Bin Nukman daripada Hammad bin Ibrahim berkata : “Dibentangkan amalan seseorang dan diletakkan di atas satu timbangan, ternyata ringannya . Seterusnya didatangkan pula sesuatu yang besar seolah-olah awan , maka diletakkan di atas satu timbangan yang lain, maka ternyata benda tersebut memberatkan timbangannya.. Maka dikatakan kepadanya: “Tahukah kamu apakah benda ini?” . Maka Dia menjawab : “Tidak tahu”. Maka diberitahu kepadanya: “Inilah kelebihan ilmu yang engkau mengajarkannya kepada orang lain.” [2]

Imam ath-Thauri mengeluarkan hukum daripada hadis (خيركم من تعلم القرءان وعلمه ) ; bahawa mengajar al-Quran al-Kareem mengatasi derjat kemuliaan daripada amalan-amalan lain . Ketika beliau ditanya tentang keutamaan, di antara jihad dan mengajar al-Quran . Maka beliau menjelaskan mengajar al-Quran adalah lebih utama. [3]

Justeru itu Salafus Soleh sangat menggalakkan umat mempelajari al-Quran dan mengajarkannya . Kerana inilah cara dan jalan orang yang telah mencapai kejayaan di kalangan mereka yang lebih terdahulu. Lebih daripada itu , orang yang memulakan jalan ini adalah Baginda Nabi SAW sendiri , dengan mempelajarinya daripada Jibril as dan mengajarkannya pula kepada para Sahabatnya.

Abdullah bin Umar bin Khattab ra berkata :

"كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يعلمنا القرءان ، فإذا مر بسجود القرءان سجد وسجدنا معه "

Maksudnya : “Adalah Baginda Rasulullah SAW mengajarkan kami al-Quran, maka apabila melalui ayat-ayat sajadah di dalam al-Quran , dia akan sujud dan kami turut sujud bersamanya” [4]

Kadang-kadang Baginda akan mewakilkan kepada mana-mana sahabatnya untuk mengajarkan al-Quran kepada orang lain .

Daripada ‘Ubadah bin Somit ra berkata :

"كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يشغل ، فإذا قدم المهاجر على رسول الله صلى الله عليه وسلم دفعه إلى رجل منا يعلمه القرءان"

Maksudnya : sesekali Rasulullah SAW kesibukan , maka apabila datang kaum muhajirin kepada Baginda Rasulullah SAW , beliau akan membawa mereka kepada salah seorang di antara kami untuk mengajarkan al-Quran.” [5]

Daripada Abi Musa al-Asy’ariy :

" أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بعث معاذا وأبا موسى إلى اليمن ، فأمرهما أن يعلما الناس القرءان"

Maksudnya : “Bahawa Baginda Rasulullah SAW mengutuskan Mu’az dan Abu Musa ke Yaman , dan Baginda memerintah mereka berdua mengajarkan al-Quran kepada manusia.” [6]

Demikianlah setiap peringkat masa setelah zaman Nabi dan para Sahabatnya , tidak pernah sunyi daripada pekerjaan yang mulia ini , malah mereka berlumba-lumba mencari keredhaan Allah dengan mempelajari, menghafaz dan menyampaikannya kepada generasi demi generasi selepas mereka.

Di antara mereka yang sangat termasyhor dengan penglibatan al-Quran ialah Abu Abdur Rahman Abdullah bin Habib as-Sulami al-Kufi , ketika beliau meriwayatkan hadis (خيركم من تعلم القرءان وعلمه ) , beliau berkata : Inilah yang menyebabkan daku duduk di martabat ini [7].

Imam Ibnu Kathir berkata : “adalah Abu Abdur Rahman Abdullah bin Habib as-Sulami al-Kufi salah seorang Imam dan Syeikh di dalam Islam yang sentiasa gemar mengajarkan al-Quran . Malah beliau melaksanakan tugas mengajar manusia semenjak zaman Khalifah Saidina Uthman bin Affan ra hingga zaman Hajjaj Yusuf ath-Thaqafi. Mereka berkata : Jarak masa beliau mengajar al-Quran kepada masyarakat adalah selama 70 tahun” [8]

Dengan sebab kegigihan para ulama’ terdahulu hinggalah sekarang , mengajar al-Quran kepada generasi demi generasi hingga sampai ke zaman kita sekarang ini, selamat dan terhindar daripada sebarang penipuan dan penyelewengan dengan inayah daripada Allah Taala.



[1] Riwayat Imam Muslim , Abu Daud , Tirmizi , Imam Ahmad dan Ibnu Majah

[2] Jaami’u Bayan al-Ilmi wa Fadlih jilid -1

[3] Fathul Baari Syarhu Sohihil Bukhary

[4] Riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad

[5] Musnad Imam Ahmad

[6] Musnad Imam Ahmad

[7] Sohih Imam Bukhary

[8] Fadhaiel alQuran – Imam Ibnu Kathir , tahqiq Abu Ishak al-Huwainiy

Thursday, October 23, 2008

MAKSUD SURAH AL-FAATHIR (YG KE 35) AYAT 29 - 35 :

29. Sesungguhnya orang-orang Yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan Yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan Yang tidak akan mengalami kerugian;

30. supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas Dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang Yang bersyukur kepadanya).

31. dan Al-Quran Yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) ialah Yang benar (segala-galanya) Yang tetap mengesahkan Kitab-kitab Yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha melihat dan memerhatikan.

32. kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang Yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka ada Yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada Yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada Yang mendahului (orang lain) Dalam berbuat kebaikan Dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia Yang besar (dari Allah semata-mata).

33. (balasan mereka ialah) syurga - syurga " Adn ", Yang mereka akan masukinya; mereka Dihiaskan di dalamnya Dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.

34. dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: "Segala puji tertentu bagi Allah, Yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan Kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan Yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang Yang taat);

35. Tuhan Yang telah menempatkan Kami di tempat tinggal Yang kekal, Dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu".